Fri Dec 20
Pelancong asing antara enam cedera bas ekspres jatuh gaung di Lahad Datu
2024-06-21 berita.rtm.gov.my HaiPress
Bas ekspres membawa 32 penumpang terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Batu 9 Jalan Silam,kira-kira 9.24 malam tadi/Foto Bomba
LAHAD DATU,21 Jun -Enam orang cedera termasuk pelancong asing selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Batu 9 Jalan Silam,kira-kira 9.24 malam tadi.
Bas yang membawa 32 penumpang itu dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Kota Kinabalu dipercayai hilang kawalan.
Ketua Balai,Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Lahad Datu,PPg Sumsoa Rashid berkata pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 23 kilometer dari BBP Lahad Datu.
Ujar beliau,pihaknya telah mengeluarkan 19 penumpang lain manakala 13 individu lagi telah keluar dengan sendirinya dari bas berkenaan.
"Mangsa yang cedera merupakan empat penumpang termasuklah seorang pelancong Itali,pemandu bas dan kelindan bas.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya,enam mangsa yang cedera telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam,” katanya.