JKM Perlis peruntuk lebih RM58,000 bantu mangsa ribut

2024-06-26     berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan

KANGAR,26 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri memperuntukkan RM58,760 setakat ini bagi membantu 86 mangsa kejadian ribut di Perlis pada hari Jumaat dan Ahad lepas.

Pengarahnya Ku Chik Ku Mat Esa berkata pihaknya telah menyiasat 115 daripada 135 laporan berkaitan kes kerosakan akibat ribut yang diterima,dan 86 daripada 115 kes yang telah disiasat itu kini dalam proses pembayaran bantuan secara berperingkat.

"Sebanyak 86 mangsa ribut dalam proses pembayaran secara berperingkat melalui bayaran Electronic Fund Transfer (EFT) ke akaun masing-masing,manakala selebihnya 29 kes lagi masih dalam proses untuk pembayaran bantuan ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata bantuan yang disampaikan berjumlah RM100 hingga RM5,000 setiap kes berdasarkan kepada tahap kerosakan yang dialami.

"Kita juga berharap penduduk kampung yang terlibat dalam kejadian ribut membuat laporan kepada pihak polis dan berhubung dengan JKM supaya kita dapat pergi ke rumah-rumah terlibat untuk membuat penilaian dan Insya-Allah kita akan buat pembayaran dengan segera.

Ku Chik berkata JKM negeri itu mendapat kerjasama baik daripada semua pihak termasuk Pusat Khidmat Wakil Rakyat dalam memudahkan petugas bencana mengenal pasti mangsa terlibat bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.