Pendekatan pelbagai serampang tangani buli siber

2024-07-12     berita.rtm.gov.my HaiPress

Pengasas dan Pengerusi Alliance for a Safe Community,Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR,12 Julai -Pendekatan pelbagai serampang diperlukan bagi menangani buli siber termasuk memperkenalkan undang-undang yang lebih komprehensif serta menghukum dengan jelas bentuk gangguan dan buli secara dalam talian di negara ini.

Pengasas dan Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye berkata,ia termasuk peruntukan khusus untuk pelbagai jenis buli siber seperti gangguan siber,ucapan kebencian dalam talian dan dedah maya,serta meminda undang-undang sedia ada untuk memasukkan hukuman lebih berat bagi pesalah berulang dan mereka yang menyebabkan kemudaratan ketara.

"Ini boleh melibatkan denda lebih tinggi,tempoh penjara lebih lama dan program kaunseling mandatori untuk pesalah," kata Lee Lam Thye dalam satu kenyataan.

Beliau berkata setakat ini,negara tidak mempunyai undang-undang khusus untuk buli siber.

Bagaimanapun,beliau berkata terdapat undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk menangani aspek buli siber seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM),Seksyen 499 Kanun Keseksaan: peruntukan berkaitan fitnah,yang boleh termasuk kenyataan fitnah dibuat dalam talian.

Selain itu,Seksyen 503 Kanun Keseksaan: peruntukan berkaitan ugutan jenayah,yang boleh meliputi ancaman dibuat melalui cara digital dan Seksyen 509 Kanun keseksaan: menghukum perkataan,isyarat atau perbuatan bertujuan menghina kesopanan seseorang yang boleh digunakan untuk kes gangguan dalam talian.

Lee turut mencadangkan keperluan untuk menubuhkan unit jenayah siber khusus dalam agensi penguatkuasaan undang-undang yang dilengkapi dengan latihan serta peralatan khusus untuk menyiasat dan mendakwa kes buli siber secara berkesan.

"Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara penguat kuasa undang-undang,platform media sosial dan penyedia perkhidmatan Internet untuk mengenal pasti dan membuang kandungan berbahaya dengan pantas,mengesan pesalah dan memastikan mangsa menerima bantuan tepat pada masanya," katanya.

Beliau juga menggesa kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya buli siber dan cara mengenalinya,termasuk menyediakan sumber untuk sokongan kesihatan mental dan nasihat undang-undang.

"Selain itu,campur tangan orang ramai dan menggalakkan budaya hormat-menghormati dan kebaikan dalam talian," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.