Fri Dec 20
Perjuangan Palestin: Surat kepada rakyat Malaysia
2024-08-09 berita.rtm.gov.my HaiPress
Himpunan Pembebasan Palestin pada4 Ogos 2024/Foto FB Anwar Ibrahim
ULASAN BERITA
Ke hadapan rakyat Malaysia yang prihatin. Jangan berhenti bicara soal Palestin. Usah jemu untuk menolong mereka yang ditindas rejim zalim. Sesungguhnya mereka sentiasa mendambakan pertolongan kita.
Sesungguhnya rakyat Palestin mahukan perhatian antarabangsa. Baik dari segi bantuan kemanusiaan mahu pun tekanan diplomatik yang berterusan. Agar Israel menghentikan pembantaian di bumi Anbiya yang penuh keberkatan.
Dalam hal ini,ketegasan Perdana Menteri mengangkat isu Palestin amatlah disanjung. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kita bahawa ada satu negara di Asia Barat yang rakyatnya sedang terkepung. Mereka dinafikan hak oleh pengganas Zionis untuk bebas bergerak,dengan tanah penduduk dijarah,rakyat Palestin diserang dari segenap arah.
Semua tahu Israel sudah mencabuli banyak undang-undang antarabangsa. Tetapi itulah,sombongnya kepada komuniti global mengatasi segala. Maaflah jika penulis menggunakan bahasa sedikit kasar. Tetapi kebebalan rejim zionis itu memang perlu diajar. Boleh jadi ini jihad yang sedikit kalau pun bukan,lebih baik.
Jarak pemisah tidak harus jadi halangan untuk kita menyuarakan pendirian dan menyalurkan bantuan. Cumanya,sebelum mengimbas kod QR apa-apa tabung derma itu kenalah cakna. Bimbang boleh terpedaya dengan sindiket penipuan yang bertopengkan agama.
Semak dahulu kesahihan nombor akaun bank apa-apa 'crowdfunding' atau pendanaan ramai. Cuba taip dan klik URL semakmule.rmp.gov.my. Ini boleh membantu kita daripada tertipu dengan jenayah komersial.
Berbalik isu Palestin. Setiap orang perlu sentiasa ada rasa mahu menjentik hati antara satu sama lain. Bukan tabur fitnah atau sebar berita palsu. Sebaliknya,menggunakan informasi betul untuk membangunkan kandungan bermutu. Seperti orang bijak pandai dahulu kata,senjata orang bijaksana adalah kertas dan penanya.
Kalau pun mahu diubah mengikut zaman mungkin seperti,senjata netizen itu adalah ilmu dan nawaitu. Tetapi senjata atau kuasa yang ada tidak sepatutnya disalah guna. Misalnya,dalam isu syarikat pengendali media sosial yang menurunkan hantaran daripada Perdana Menteri,tentang Palestin baru-baru ini.
Tindakan Meta sangat tidak wajar apabila gagal memberikan akses kepada Datuk Seri Anwar. Malah melabelkan pula hantarannya di FB dan Instagram sebagai berbahaya. Apa masalah dengan video dan ucapan takziah?
Takkanlah untuk mengenang pemergian tokoh Palestin Ismail Haniyeh pun salah? Ini jelas membuktikan,kecurangan Meta memang tidak masuk akal apabila seakan sengaja bersikap bebal.
Kata Perdana Menteri,beliau kecewa sebab hantaran dibuatnya sebagai menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah air dianggap berbahaya. Dalam hal ini,penulis memang bersetuju dengan kritikan 'pedas' Perdana Menteri.
Usah jadi bacul dan perkakas kepada zionis,kerana syarikat teknologi itu tidak boleh bersifat prejudis. Ia sepatutnya meraikan pandangan geopolitik yang sama rata,mengambil kira platformnya yang digunakan di seluruh dunia.
Namun hakikat,tafsiran atau tetapan yang dibuat oleh teknologinya mengenai pertubuhan Hamas memang persis hanya bertunjangkan barat. Ini seperti yang dikongsikan oleh penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia,Profesor Madya Dr Mazlan Ali.
Apa lagi dengan kenyataan rasmi dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri yang turut menyifatkan tindakan syarikat itu sebagai diskriminasi. Sekali gus menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan penyedia platform media sosial berkenaan.
Apa pun tindakan pembetulan yang telah dibuat Meta tetap dihargai apabila ia me mohon maaf atas kesalahan operasi. Kandungan hantaran juga dipulihkan dengan label berita yang betul dan bersesuaian.
Harapnya masalah serupa tidak berulang pada masa depan. Kalau ada apa-apa perubahan terkini terhadap garis panduan,Meta disaran agar sentiasa berhubung dengan kerajaan. Rakyat perlu tahu,kerajaan perlu bersikap tegas. Tindakan yang diambil juga berasas.
Masakan Kerajaan Madani boleh bersikap tidak cakna ketika ia juga lantang memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Oleh itu,sesuai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. Ayuh kita sematkan semangat 'Malaysia Madani,Jiwa Merdeka' dalam sanubari.
Ulasan berita ini disediakan oleh Affendi Abdul Karim,editor Berita Radio RTM.