Fri Dec 20
60 orang masih terjejas banjir pagi ini
2024-08-14 berita.rtm.gov.my HaiPress
Keadaan salah sebuah premis di Alor Gajah,Melaka yang terjejas banjir baru-baru ini
KUALA LUMPUR,14 Ogos- Jumlah penduduk terjejas banjir di Melaka dan Labuan kekal seramai 60 orang setakat 6.00 pagi ini berbanding tengah malam tadi.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC),Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan banjir masih menjejaskan daerah Alor Gajah,Melaka melibatkan 48 orang daripada 14 keluarga di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Manakala di Labuan mencatatkan 12 orang daripada tiga keluarga yang berlindung di sebuah PPS pagi ini.
Sementara itu,Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan ribut petir di Sarawak melibatkan Serian,Samarahan (Simunjan),Sri Aman dan Betong (Pusa dan Betong) sehingga 10.00 pagi ini.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," menurut kenyataan.
Ramalan cuaca itu dikeluarkan pukul 7.00 pagi ini.