Pasaran getah dijangka diniaga tinggi sedikit minggu depan

2024-08-18     berita.rtm.gov.my HaiPress

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,17 Ogos- Pasaran getah dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu depan disebabkan hujan lebat yang berterusan di Thailand,kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata hujan itu dijangka menghalang aktiviti menoreh getah,tetapi akan membantu menyokong harga dalam keadaan permintaan yang lembap.

“Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan aktiviti monsun meningkat dan hujan lebat dalam tempoh 10 hari akan datang,dengan beberapa kawasan dijangka mengalami hujan yang lebih lebat.

"(Bagaimanapun) peniaga mungkin berhati-hati kerana penggunaan akan kekal perlahan hingga ke tahap neutral," kata Low kepada Bernama.

Sehubungan itu,pasaran berkemungkinan kekal stabil dan harga sepatutnya lebih baik kerana nampaknya tidak terdapat sebarang peningkatan dalam permintaan atau keperluan untuk lebih banyak stok,tambah beliau.

Sementara itu,seorang peniaga berkata harga getah Malaysia akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau,kekuatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah keyakinan yang semakin meningkat untuk pemotongan kadar faedah AS pada September 2024.

“Pemain pasaran akan terus memantau kemas kini tentang ekonomi AS dan China,terutamanya untuk petunjuk mengenai pemotongan kadar faedah AS sambil terus mengawasi perkembangan konflik geopolitik dan prestasi ekonomi global,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat,harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 10 sen kepada 785 sen sekilogram daripada 775 sen sekilogram seminggu sebelumnya.

Sementara itu,lateks pukal susut tiga sen kepada 628.5 sen sekilogram daripada 631.5 sen sekilogram sebelumnya.

Pada 5.00 petang,harga rujukan LGM untuk GMM 20 fizikal berada pada 781 sen sekilogram,manakala lateks pukal pada 629.50 sen sekilogram. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.