Salah guna fleet card, lesen boleh dibatalkan

2024-08-20     berita.rtm.gov.my HaiPress

Shamsul Nizam Khalil

IPOH,20 Ogos- Pemegang fleet card bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen sekiranya menyalahgunakan kad tersebut bagi tujuan penyelewengan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata,ia susulan terdapat kes penyalahgunaan kad itu di Selangor dan Pulau Pinang.

Pihaknya juga mendapati berlaku peralihan trend penyelewengan kepada petrol RON95 susulan peningkatan harga diesel di pasaran.

"Mereka menggunakan fleet card dan membeli pada harga RM2.15 dan sebenarnya bukanlah untuk kenderaan tersebut. Oleh itu arahan ini dikeluarkan bagi memberi peringatan kepada semua pengusaha stesen minyak supaya melaporkan atau mengambil perhatian terhadap mana-mana kenderaan yang didapati mengisi minyak petrol ron 95 ini secara berulang.

"Secara logiknya sebuah kenderaan itu mengisi diesel pada 250 liter secara maksimum,mereka takkan ulang dua tiga hari,dua tiga kali sehari,dalam tempoh sama," katanya.

Shamsul Nizam ditemui pemberita pada program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan bersama 400 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Perak di Meru,di sini.

Perak merupakan negeri keempat yang menerima surat arahan berkenaan selepas Kelantan,Perlis dan Kedah iaitu antara negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Arahan itu berdasarkan peruntukan bawah Peraturan 12A,Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari sama.

Ia berkuatkuasa serta merta dan terpakai kepada kenderaan berpendaftaran tempatan dan asing.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.