Niaga hadapan emas kekal dalam aliran menurun minggu depan

2024-08-24     berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,24 Ogos- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal dalam aliran menurun pada minggu depan disebabkan pasaran akan menunggu laporan gaji bukan ladang September,yang boleh menetapkan trajektori pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan SPI Asset Management,Stephen Innes memberitahu sementara pasaran menjangkakan pembeli untuk bertindak jika berlaku sebarang penurunan harga emas pada minggu tersebut,laporan pekerjaan AS yang akan datang berpotensi membawa perubahan ketara.

"Oleh itu,pasaran mungkin mengambil pendekatan berhati-hati. Buat masa ini,saya akan mengesyorkan pemantauan pada jajaran antara US$2,490 sehingga US$2,530 satu auns troy untuk emas minggu depan," katanya kepada Bernama.

Dari Jumaat ke Jumaat,bulan semerta Ogos 2024 melonjak kepada US$2,520 satu auns troy berbanding US$2,484.30 satu auns troy yang dicatatkan semasa minggu sebelum ini dan September 2024 meningkat kepada US$2,523.70 satu auns troy daripada US$2,488.

Sementara itu,Oktober 2024,November 2024,Disember 2024 dan Februari 2025 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$2,526 satu auns troy daripada US$2,488 satu auns troy.

Jumlah dagangan susut kepada 67 lot berbanding 244 lot,manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 58 kontrak daripada 135 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$2,483 satu auns troy,berdasarkan penetapan petang Persatuan Pasaran Bullion London,22 Ogos. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.