Fri Dec 20
Pasaran getah ditutup bercampur-campur
2024-09-03 berita.rtm.gov.my HaiPress
Gambar hiasan/Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,2 September - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin,dipengaruhi oleh trend penurunan dalam pasaran hadapan getah serantau dan kejatuhan harga minyak mentah,kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen global juga terjejas disebabkan prestasi ekonomi China yang tidak memberangsangkan di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang berterusan.
“Bagaimanapun,penurunan seterusnya dihadkan oleh kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan bekalan getah asli (NR) yang terhad ekoran ramalan cuaca yang buruk dan peniaga kini menunggu laporan penting data pekerjaan AS,” katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun yang mengalami sembilan sesi kenaikan terhenti pada Isnin,terjejas oleh data ekonomi yang lemah daripada pengguna utama China dan harga minyak yang lebih rendah,walaupun yen yang lebih lemah mengehadkan kejatuhan itu.
Sementara itu,beliau berkata harga minyak meneruskan kejatuhan pada Isnin dengan pelabur mempertimbangkan tindakan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) meningkatkan pengeluaran dari Oktober berbanding penurunan mendadak dalam pengeluaran dari Libya di tengah-tengah permintaan yang lembap di China dan AS,dua pengguna minyak terbesar dunia.
Menurut peniaga,Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan NBS di China jatuh kepada 49.1 pada Ogos 2024 daripada 49.4 pada bulan sebelumnya,tidak mencapai anggaran pasaran sebanyak 49.5.
"Ia adalah penguncupan bulan keempat berturut-turut dalam aktiviti pembuatan dan kadar penguncupan yang paling ketara sejak Februari,apabila pengeluaran menyusut selepas meningkat dalam tempoh lima bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun,PMI Pembuatan S&P Global dan Caixin meningkat kepada 50.4 pada Ogos daripada 49.8 pada bulan sebelumnya,” tambahnya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 6.5 sen kepada 789.0 sen sekilogram,manakala susu getah pukal naik 2.50 sen kepada RM652.5 sen sekilogram.
Sementara itu,pada 5 petang,harga bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 berada pada 787.5 sen sekilogram,manakala susu getah pukal pada 655.0 sen sekilogram. - BERNAMA