Karnival Komunikasi: Tingkat kesedaran perilaku dalam talian

2024-09-05     berita.rtm.gov.my HaiPress

Teo Nie Ching di Angkasapuri/RTM

KUALA LUMPUR,5 September- Tema 'Literasi Komunikasi,Masa Depan Harmoni' yang diketengahkan dalam Karnival Komunikasi 2024 merupakan satu langkah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan tingkah laku dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching menekankan bahawa literasi komunikasi turut memainkan peranan dalam memupuk empati dan hormat menghormati sesama masyarakat.

"Kami mahu mendidik masyarakat supaya lebih celik komunikasi dan digital. Ini penting untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat kita.

"Bagaimana kita boleh mendidik masyarakat apabila menikmati kelajuan internet yang lebih pantas dan liputan lebih baik... pada masa sama menjadi pengguna yang celik digital,melindungi diri daripada menjadi mangsa,dan bertanggungjawab agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak pasti kesahihannya," katanya ketika ditemui pemberita RTM di Angkasapuri di sini hari ini.

Siri pertama Karnival Komunikasi 2024 akan berlangsung di Hutan Bandar Putra,Kulai,Johor pada Jumaat dan Sabtu ini.

Karnival ini adalah kesinambungan daripada inisiatif Pelan Promosi Jalur Lebar yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi sejak tahun 2015. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk reruai oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,permainan digital,dan cabutan bertuah.

Selain itu,terdapat juga sukan rakyat,konsert mini,persembahan muzik,serta perkhidmatan langsung daripada pelbagai agensi seperti kaunter bayaran saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),Program Jom Exchange Al-Quran oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),dan percetakan setem dengan gambar peribadi oleh Pos Malaysia.

Sebanyak tiga siri karnival akan diadakan tahun ini melalui kerjasama strategik dengan TM Technology Services Sdn Bhd.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.