Fri Dec 20
MTL: Elak naikkan harga ikan, LKIM sedia stok penimbal
2024-10-28 HaiPress
Muhammad Faiz Fadzil
PORT DICKSON,28 Oktober-Semua peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga ikan secara mendadak sebaliknya perlu memastikan harga kekal stabil dan berpatutan menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang akan tiba.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil memberi jaminan bahawa bekalan ikan mencukupi untuk musim tersebut dengan 1,600 metrik tan ikan sejuk beku disimpan sebagai stok penimbal.
Jelas beliau,negeri-negeri yang terjejas terutama di zon Pantai Timur akan menerima bekalan tambahan dari negeri-negeri lain khususnya dari zon Utara.
"Peniaga diingatkan untuk tidak menaikkan harga ikan secara drastik atau memainkan sentimen pasaran. Mereka perlu bertanggungjawab secara sosial dengan menetapkan harga yang munasabah demi kestabilan harga ikan untuk rakyat," katanya dalam sidang media sempena Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Nelayan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pada majlis tersebut,LKIM turut menyampaikan bantuan bernilai RM80,000 dalam bentuk enjin,jaring dan tong e-petrol kepada 29 nelayan,selain bantuan zakat perniagaan daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sebanyak RM1,700 kepada 17 nelayan.
Seorang penerima,Abdul Jalil Johari,62,meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterimanya,"Ini sejarah dalam hidup saya. Seumur hidup saya,tidak pernah saya menerima bantuan sebegini."
Muhammad Rabbani Abd Malek,30,seorang lagi penerima,turut berterima kasih kepada LKIM,"Saya amat terharu. Bantuan seperti ini dapat meringankan beban kami sebagai nelayan."