Fri Dec 20
Pemimpin desa kumpul maklumat masyarakat, elak penyelewengan bantuan
2024-11-04 HaiPress
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA
BANGI,4 November- Pemimpin desa di seluruh negara diminta untuk mengumpul maklumat dan data masyarakat berhubung kawasan yang dipimpin.
Ia penting bagi memastikan setiap aktiviti dan bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan betul dan mengikut keutamaan.
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata data yang terperinci akan dapat membantu membangunkan sebuah aplikasi dua hala tanpa diseleweng.
"Data-data ini kita akan buat melalui sistem geopolitik dan geoekonomi yang akan merangkum semua maklumat.
Jadi,aplikasi dan data ini tembusi semua maklumat yang kita perlukan dalam menyampaikan apa juga informasi dan bantuan khususnya kumpulan sasaran," kata Dr. Ahmad Zahid,hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024,di sini.
Aplikasi itu juga boleh menjadi inisiatif kerajaan kepada rakyat serta membantu syarikat atau ‘start-up’ melihat potensi projek komuniti yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Dalam pada itu,sesetengah pemimpin politik diminta komited bekerja untuk rakyat daripada berpolitik.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata fokus itu perlu terus diperkasa kerana masih berbaki tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
"Jangan sibuk berpolitik. Saya fikir ada baiknya kita bekerja untuk rakyat dulu dan tidak berpolitik. Kita perlu sibukkan diri bantu rakyat dahulu," tambahnya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan parti Amanah Johor bahawa akan berlakunya pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.