Fri Dec 20
Penggunaan Kod QR di Tambak Johor akan diperluas
2024-11-18 HaiPress
Foto FB Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR,18 November-Penggunaan Kod Respons Pantas (QR) di Tambak Johor akan diperluas secara berfasa dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada tahun hadapan.
Menurut Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,perluasan aplikasi tersebut akan melibatkan semua mod kenderaan bagi perjalanan keluar masuk di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor.
"Buat masa ini,penggunaan Kod QR ini hanya melibatkan dua mod pengangkutan,iaitu penumpang bas dan penunggang motosikal sahaja.
"Kita menjangkakan,berdasarkan unjuran peningkatan sebanyak 17 peratus,laluan Johor-Singapura akan menerima sehingga 150 juta pengguna setahun," katanya ketika hadir Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di sini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil,Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi,serta beberapa anggota Kabinet lain.
Tambah beliau,penggunaan aplikasi itu dijangka dapat mengurangkan isu kesesakan di Tambak Johor.
Dalam pada itu,Saifuddin Nasution berkata proses perolehan penggunaan Kod QR bagi laluan Malaysia-Singapura akan dimuktamadkan menerusi tahun kewangan semasa tahun ini.
Ia susulan selepas sistem tersebut dilaksanakan melalui pembuktian 'proof of concept' (POC) di Kompleks Kastam,Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
"Jadi,mesyuarat hari ini bersetuju bahawa penggunaan Kod QR perlu dimuktamadkan dengan proses perolehan diselesaikan dalam tahun kewangan semasa,iaitu pada tahun ini juga.
"Maknanya,hasil kajian POC yang dibentangkan dalam mesyuarat telah mendapat persetujuan untuk menetapkan keputusan dasar bagi memuktamadkan proses perolehan pada tahun kewangan semasa ini," katanya.
Sementara itu,Menteri Besar Johor menyambut baik pelaksanaan perluasan bagi penggunaan QR itu.
Katanya,inisiatif tersebut berupaya melegakan isu kepadatan di laluan pintu masuk utama Malaysia-Singapura,selain memendekkan tempoh menunggu terutama waktu puncak.
"Di peringkat negeri Johor,kita menyambut baik hasil perbincangan dalam mesyuarat hari ini.
"Kita akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kesesakan di Tambak Johor dan 'Second Link',Insya-Allah,” katanya.