Fri Dec 20
Tambahan kerja 3 jam seminggu untuk jururawat munasabah, tidak membebankan- Dr Dzul
2024-11-21 HaiPress
FOTO BERNAMA
SERI ISKANDAR,21 November- Arahan baharu yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak membebankan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata arahan itu dilihat munasabah dan sudah mendapat pertimbangan sebaiknya.
Bagaimanapun,pihaknya sedia menambahbaik arahan sedia ada sekiranya terdapat keperluan tersebut demi kebajikan dan kemashalatan barisan petugas hadapan negara itu.
"Pada masa ini amalan pelaksanaan jadual waktu bekerja syif di peringkat hospital adalah sekitar 42 jam dan selepas ini akan dijadikan 45 jam.
"Ia akan melibatkan bekerja empat hingga enam hari seminggu dan satu hingga tiga hari rehat seminggu dan tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih daripada 12 jam bekerja sehari.
"Dalam pada itu selingan itu kita berikan satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja,saya kira sangat munasabah dan wajar," katanya.
Mulai 1 Disember,jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu,bertambah daripada 42 jam ketika ini.
Arahan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada petugas perubatan termasuk Kumpulan Hartal Doktor Kontrak.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan projek Hospital Seri Iskandar,HSI dan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung,HSM kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pembangunan HSI di atas tapak selyas 26.78 hektar melibatkan kos lebih RM153 juta dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada 11 Disember depan.
Manakala kos pembinaan bagi Blok Tambahan HSM bernilai RM65.14 juta.