Fri Dec 20
Persiapan banjir: Orang Asli Temiar bina 60 rumah bangsal atas bukit
2024-11-22 HaiPress
Rumah bangsal yang dibina atas bukit
GUA MUSANG,22 November – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A,di sini membina 60 rumah bangsal di atas bukit sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
Penghulu RPS Kuala Betis Blok A,Rodzi Asod,49,berkata seramai 320 keluarga yang terdiri daripada lebih 1,000 penduduk bergotong-royong mencari bahan daripada hutan sejak sebulan lalu untuk membina rumah bangsal tersebut.
Beliau berkata pengalaman banjir besar pada 2014 menjadi pengajaran kepada masyarakat di kawasan rendah itu.
“Biasanya kita lihat keadaan musim tengkujuh. Kalau hujan berlarutan dua hingga tiga hari,kami akan berpindah ke tempat yang kami sediakan.
"Semua bahan hutan kami guna kecuali kanvas. Kosnya sekitar RM300 untuk satu keluarga,” katanya ketika ditemui RTM.
Penduduk,Akod Hahan,turut berkongsi bahawa persediaan itu lebih efisien berbanding bergantung kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Sekarang kami perlu membuat persediaan awal dengan membina rumah banjir kerana tidak mahu mengulangi pengalaman lalu,apabila banjir berlaku,kami terpaksa meninggalkan rumah tanpa sebarang tempat perlindungan.
"Namun,kali ini keadaan lebih baik kerana rumah banjir telah siap dan bekalan makanan juga telah dikumpulkan.
"Keadaan ini lebih teratur berbanding tahun 2014. Saya tidak dapat berpindah ke PPS kerana laluan biasanya terputus akibat jambatan tenggelam.
"Oleh itu,kami memilih untuk membina tempat pemindahan sendiri yang lebih mudah dan cepat,” katanya.
Seorang lagi penduduk,Asop Bahir,yang turut membina rumah bangsal untuk keluarganya.
“Tapak rumah pertama saya dah siap,ini untuk anak saya. Ramai juga,lebih kurang 15 orang – rumah atas tu dua keluarga,sini satu keluarga dengan anak-anak kecil.
"Saya tak pasti besar atau kecil rumah ini mencukupi,tapi harap-harap tak banjir besar. Kalau hujan biasa,tak apa,tapi kalau hujan lebat,kami pindah ke sini. Kalau tak lebat,kami kekal di bawah,” katanya.
Sementara itu,Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk sehingga esok (Sabtu) di Kelantan.
Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Tumpat,Pasir Mas,Kota Bharu,Jeli,Tanah Merah,Bachok,Machang,Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Manakala,amaran hujan berterusan tahap waspada di Gua Musang.