Fri Dec 20
Usahawan MARA disaran manfaat peluang ASEAN 2025
2024-12-06 HaiPress
Foto RTM
PUTRAJAYA,5 Disember- Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) digalakkan manfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi mengetengahkan produk tempatan mereka di pasaran antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,produktiviti perniagaan perlu dipertingkatkan sebagai persediaan awal sebagai memanfaatkan peluang itu.
"Malaysia akan mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan,dan saya menyeru agar kita semua memanfaatkan peluang ini untuk mengetengahkan produk tempatan di Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang dijadualkan pertengahan tahun depan" katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Mara (AURA) 2024,di sini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata,para usahawan juga perlu meningkatkan kecekapan digital mempelbagaikan produk dan perkhidmatan,memperkukuh pengurusan kewangan serta menambah baik kemahiran dan pengetahuan.
Ini bagi memastikan produk tempatan mampu bersaing dan dipromosikan ke peringkat antarabangsa.
"Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,saya bertekad memastikan MARA terus komited dalam merealisasikan aspirasi meningkatkan penyertaan,pemilikan,dan penguasaan ekonomi bumiputera.
"Usaha ini akan dilaksanakan melalui ekosistem keusahawanan yang menyeluruh,merangkumi tiga elemen utama iaitu pembangunan usahawan,pembangunan perniagaan,serta fasiliti sokongan," tambahnya.
Sejak penubuhannya,MARA telah membelanjakan sebanyak RM15.46 bilion melalui pelbagai program keusahawanan yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta usahawan.
Hingga November 2024,sebanyak RM481 juta telah diluluskan bagi membantu lebih 20,000 usahawan melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan perniagaan,latihan keusahawanan dan penyediaan premis perniagaan.