KKM tambah dana RM1 juta program pencegahan HIV/AIDS

2024-12-10     HaiPress

Foto Yayasan AIDS Malaysia

KUALA LUMPUR,10 Disember–Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM1 juta untuk program Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) bagi membiayai program pencegahan HIV/AIDS,bermula 2025.

Penambahan itu menjadikan jumlah peruntukan tahunan bagi program tersebut meningkat kepada RM8 juta.

Menteri Kesihatan,Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad,menyatakan bahawa geran itu akan digunakan untuk memperluas program DHSKP yang dirancang bagi mengurangkan jangkitan baharu.

Selain itu,ia bertujuan meningkatkan kualiti hidup mereka yang terkesan melalui pencegahan,saringan,dan perkhidmatan penjagaan yang disediakan di fasiliti penjagaan primer KKM di seluruh negara.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk bekerjasama menangani AIDS,sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan,masyarakat sivil,dan pihak berkepentingan lain.

"Respons terhadap AIDS tidak seharusnya bersifat sehala," katanya menerusi kenyataan.

Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat,Datuk Seri Nancy Shukri pula menekankan kepentingan pendekatan holistik dalam menangani HIV/AIDS.

“Menangani epidemik ini memerlukan pendekatan yang bukan sahaja menyediakan penyelesaian perubatan tetapi juga menangani stigma,diskriminasi,dan cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh mereka yang terkesan.

"Isu seperti hak wanita,kesaksamaan ekonomi,dan kebajikan kanak-kanak sangat berkait rapat dengan perjuangan melawan HIV/AIDS. Oleh itu,usaha kolektif yang mengutamakan perubahan sistemik dan kesejahteraan individu amat diperlukan," katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan kementeriannya terhadap inisiatif seperti Skim Bantuan MyLady,program mikro kredit untuk ibu tunggal yang hidup dengan HIV,selain mempertimbangkan untuk menghidupkan semula program Rumah Perlindungan HIV/AIDS yang dikendalikan oleh Majlis AIDS Malaysia.

Dalam pada itu,Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF),Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman,menekankan kepentingan penglibatan sektor korporat dalam respons nasional terhadap AIDS.

"Sumbangan korporat kini menjadi sumber dana kedua terbesar bagiMAF dan MAC selepas KKM. Kerjasama ini mengisi jurang kritikal,memastikan bantuan sampai kepada komuniti dan individu yang paling memerlukan," katanya.

Beliau juga menyebut tentang nilai ekonomi program HIV/AIDS,dengan merujuk kajian DM Analytics yang mendapati setiap RM1 yang dilaburkan dalam inisiatif HIV/AIDS mampu menjana RM14 dalam hasil produktiviti.

Menerusi acara Red Ribbon Gala yang diadakan baru-baru ini,sebanyak RM2.8 juta berjaya dikumpulkan melalui penajaan dan jualan meja,dengan sumbangan besar daripada Kumpulan Sunway,Yayasan PETRONAS,KAREX,dan lain-lain.

Acara tersebut merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Sunway dan diraikan serentak dengan Hari AIDS Sedunia.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Datuk Zainal Abidin,Dayang Nurfaizah,Datuk Francissca Peter,Amir Masdi,dan Bob Yusof.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.