Fri Dec 20
Matrade, DMDI meterai MoU perkukuh kerjasama perdagangan, promosi eksport
2024-12-19 IDOPRESS
Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,19 Disember – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan promosi eksport.
Menurut kenyataan Matrade,perkongsian strategik itu bertujuan membentuk rangka kerja komprehensif dalam beberapa bidang utama bagi meningkatkan usaha promosi perdagangan dan eksport.
MoU tersebut turut merangkumi usaha memudahkan misi perdagangan,penyertaan dalam acara perdagangan antarabangsa,serta menghubungkan syarikat Malaysia dengan pihak berkepentingan terkemuka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade,Abu Bakar Yusof berkata kerjasama itu akan melibatkan pertukaran dan penyebaran maklumat berkaitan perdagangan bagi meningkatkan kesedaran tentang peluang eksport tempatan.
“Selain memupuk kesedaran,kerjasama ini juga memberi inspirasi kepada komuniti perniagaan melalui kisah kejayaan inisiatif ekonomi di rantau ini,” katanya.
Inisiatif tersebut turut meliputi pembinaan kapasiti melalui kursus latihan,seminar,dan bengkel,bertujuan melengkapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.