Sun Jan 12
Fenomena air pasang besar, kediaman lima keluarga dibadai ombak
2025-01-12 IDOPRESS
Antara kediaman yang terjejas di Kampung Geliga Baru,Kemaman akibat dipukul ombak
KEMAMAN,12 Januari- Fenomena air pasang besar dan angin kencang yang berlaku malam tadi menyebabkan kediaman lima keluarga di Kampung Geliga Baru,Kemaman dibadai ombak.
Situasi itu menyebabkan penduduk terjejas terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Geliga Pantai.
Tinjauan kru RTM mendapati,kediaman mereka bukan hanya dimasuki pasir dan sampah sarap,malah ada antara rumah yang dimasuki air laut.
Dua penduduk yang ditemui RTM iaitu Ibrahim Zakaria,67 tahun dan Juliana Ariffin,45 tahun berkata gegaran dirasakan di kediaman mereka selepas dipukul ombak kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Mereka hanya mampu berdoa dan melaungkan azan serta takbir kerana terlalu takut dengan keadaan angin kencang dan ombak yang memukul rumah. Selain itu,mereka gegas berpindah dan tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga.
"Angin ribut melanda di Geliga,kita terus buka pusat pemindahan sementara ini dengan serta merta kerana musim musim tengkujuh,tidak sangka keadaan sebegitu,kalau boleh memang tidak mahu,ada air di depan dan dalam rumah",ujar Ibrahim Zakaria.
"Petang kelmarin ombak naik secara tiba-tiba,jadi saya terkejut,air naik masuk ke bahagian dalam dapur rumah,bilik air dipenuhi sampah-sarap. Saya tidak tahu untuk berbuat apa-apa,angkat barang,pihak jawatakuasa penduduk kampung mengarahkan pindah dengan segera,selepas maghrib,saya terus ke sini. Keadaan itu teruk",kata Juliana Ariffin ketika ditemui pemberita di sini.
Mereka ditemui pemberita di PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai,Kemaman.