Tue Jan 21
Tol percuma selama sebulan di Seksyen 2 Lebuhraya WCE
2025-01-21 IDOPRESS
Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bergambar pada Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE di Plaza Tol SAE / Foto Bernama
KLANG,21 Januari - Pengguna Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan menikmati tol percuma selama sebulan bagi jajaran Seksyen 2 yang menghubungkan Plaza TolLebuhraya Shah Alam Expressway (SAE) ke Persimpangan BertingkatLebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) bermula 22 Januari,pukul 12.01 tengah malam.
Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembukaan Seksyen 2 WCE dengan tambahan jajaran sepanjang 7.2 kilometer itu akan memberi manfaat besar kepada pengguna,termasuk mengurangkan masa perjalanan antara Shah Alam dan Banting daripada satu jam kepada hanya 25 minit.
“Pembukaan ini menawarkan laluan alternatif yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Tol percuma selama satu bulan ini bermula tengah malam ini,melibatkan kedua-dua arah dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE),di sini.
Nanta turut menjelaskan bahawa kadar tol di jalan-jalan sedia ada akan dikenakan seperti biasa.