Kes pukul OKU: KPM sediakan khidmat kaunseling untuk anak mangsa

2025-01-22     HaiPress

Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek / Foto Bernama

KUALA NERUS,22 Januari – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan khidmat kaunseling kepada anak lelaki OKU mental yang menjadi mangsa pukul di Kemaman minggu lalu.

Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek berkata maklumat berkaitan telah diperoleh dan pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes tersebut,khususnya dalam membantu anak-anak mangsa yang mengalami trauma akibat insiden itu.

“Kita sudah mendapatkan maklumat melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Dalam kes ini,terdapat keperluan untuk menghantar pegawai kaunselor bagi menangani isu trauma dalam keluarga tersebut,termasuk membantu anak-anak berdepan dengan situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali,di sini.

Sebelum ini,laporan menyebut bahawa lelaki OKU mental,Ahmad Nor Al Faizan Jusoh,47,cedera selepas dipukul beberapa individu sekitar pukul 9.30 pagi,Jumaat lalu.

Insiden itu berlaku apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah gerai jualan di pasar.

Video kejadian yang tular di media sosial mencetuskan simpati ramai,dengan tindakan pelaku dikritik sebagai tidak berperikemanusiaan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.