Ketatkan peraturan larangan vape di sekolah - GPMS Kuala Kedah

2025-02-06     IDOPRESS

Gambar hiasan

ALOR SETAR,5 Februari - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah,Amirul Syahir Musa berkata situasi ini semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak bagi memastikan kesihatan serta masa depan pelajar terjamin.

"Antara langkah yang boleh diambil termasuk memperketatkan peraturan larangan vape di sekolah,meningkatkan penguatkuasaan,serta menjalankan program pendidikan kesihatan secara menyeluruh di peringkat sekolah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama antara KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperkukuh,khususnya dalam penyediaan bahan pendidikan serta kempen kesedaran mengenai bahaya vape kepada pelajar.

GPMS juga mencadangkan jaringan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan secara lebih berkesan melalui program yang akan dianjurkan.

Selain itu,pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat di kawasan sekolah perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan vape daripada mudah diperoleh pelajar.

"Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membendung gejala ini dengan memantau tingkah laku anak-anak serta memberikan didikan mengenai kesan buruk vape terhadap kesihatan dan masa depan mereka," tambahnya.

Semalam,KPM mendedahkan peningkatan trend penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah,dengan lebih 20,000 pelajar dilaporkan terjebak dalam kegiatan tersebut sepanjang tahun lalu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.