Produk Coca-Cola di Malaysia tidak terkesan dengan pencemaran klorat

2025-02-08     HaiPress

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

BUTTERWORTH,8 Februari - Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati Malaysia tidak terkesan dengan produk air berkarbonat Coca-Cola yang didakwa mengandungi paras klorat tinggi seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata maklum balas daripada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mendapati tiada sebarang bukti dikesan dalam produk berkenaan di Malaysia setakat ini.

Beliau berkata produk Coca Cola EuropePacific Partners sahaja dikesan dan ia diedarkan di beberapa negara Eropah seperti Belgium,Luxembourg,United Kingdom dan Belanda.

"Ia bukan fenomena global,mungkin ia berkaitan dengan rantaian bekalan kumpulan atau penghantaran tertentu.

“Kami (KKM) akan terus memantau,tetapi setakat hari ini kita tidak menerima sebarang bukti bahawa ada produk yang terkesan,di Malaysia dan negara Asia tiada sebarang amaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini hari ini.

Terdahulu,Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta KKM menguji dan menangguhkan penjualan produk Coca-Cola di Malaysia susulan tindak balas kepada penarikan balik Coca-Cola di Eropah lanjutan daripada penemuan paras klorat yang tinggi.

Menurut CAP,Coca-Cola Malaysia mengeluarkan,memasarkan,dan mengedarkan lebih 80 produk pada masa ini. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.