Insiden tercekik gula-gula: KPM tingkat kesedaran pembelian makanan murid

2025-02-21     HaiPress

Ketua Pengarah Pendidikan,Azman Adnan / Foto Bernama

PUTRAJAYA,21 Februari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan kesedaran murid dan ibu bapa mengenai kepentingan membeli makanan di tempat yang betul.

Ketua Pengarah Pendidikan,Azman Adnan berkata langkah itu susulan insiden seorang murid yang maut selepas tercekik gula-gula jenis ‘gummy’.

Menurutnya,kantin sekolah di bawah seliaan KPM tidak dibenarkan menjual makanan seperti gula-gula bergetah,sejajar dengan peraturan yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita telah mengambil langkah-langkah yang wajar,antaranya memberi kesedaran kepada murid,ibu bapa dan penjaga mengenai kepentingan membeli makanan yang betul di tempat yang betul. Namun,insiden yang berlaku bukan dalam kawalan kita kerana ia membabitkan murid sekolah KAFA yang berada di bawah kerajaan negeri.

“Dasar kita jelas mengenai jenis makanan yang boleh dan tidak boleh dijual. Namun,peniaga di luar kawasan sekolah masih menjual makanan yang telah digazetkan oleh KKM sebagai tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026,di sini.

Tambah Azman,walaupun penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga di luar premis sekolah berada di luar bidang kuasa KPM,pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

Dalam perkembangan lain,Azman memaklumkan KPMbelum menerima sebarang maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keperluan langkah pencegahan susulan wabak kusta yang dilaporkan dikesan di Kuala Pilah,Negeri Sembilan.

Katanya,walaupun tiada arahan rasmi diterima,KPM memandang serius wabak itu dan bersedia bekerjasama dengan KKM dalam aspek pencegahan jika diperlukan.

“Setakat ini,kita belum menerima maklumat daripada KKM. Namun,jika ada arahan,insya-Allah kita akan membantu kerana isu berkaitan wabak penyakit berjangkit adalah di bawah kuasa KKM. Sebelum ini,KPM juga telah bekerjasama dengan KKM dalam isu lain seperti denggi,dan sekolah sentiasa memainkan peranan dalam aspek pencegahan," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.