Wed Mar 12
Indeks Dolar AS susut, ringgit terus mengukuh pada sesi awal
2025-03-12
IDOPRESS
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,12 Mac- Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi urus niaga awal Rabu ketika Indeks Dolar AS (DXY) jatuh kepada 103.419 mata daripada 103.900 mata sebelum ini.
Perkembangan itu,kata penganalisis,dicatatkan walaupun data pekerjaan AS mengatasi jangkaan dengan lebih mengukuh.
Pada 8 pagi,ringgit meningkat kepada 4.4095/4170 berbanding dolar AS daripada paras 4.4100/4175 pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peluang pekerjaan AS yang positif dan mengatasi jangkaan iaitu 7.74 juta pada Januari 2025 berbanding anggaran konsensus sebanyak 7.6 juta turut membantu melonjakkan hasil Perbendaharaan AS dengan masing-masing bon dua tahun dan 10 tahun meningkat enam dan tujuh mata asas kepada 3.94 peratus dan 4.28 peratus.
Ekuiti global juga susut semalam berikutan ketidaktentuan mengenai tarif AS yang mendorong peniaga dan pelabur untuk kekal bertahan.
“Pasaran akan menunggu lebih banyak petunjuk bagi melihat jika Rizab Persekutuan AS dapat mengalihkan pendirian yang cenderung melonggarkan dasar monetari menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan datang pada minggu depan.
“Sehubungan itu,pengumuman data Indeks Harga Pengguna AS pada malam ini akan diikuti rapat oleh peniaga," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menjangkakan USDMYR kekal mendatar pada hari ini.
Dalam pada itu,ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9778/9830 daripada 2.9921/9974 pada akhir dagangan Selasa namun susut berbanding pound Britain kepada 5.7068/7165 daripada 5.7035/7132 serta rendah berbanding euro kepada 4.8121/8203 daripada 4.8091/8173 sebelum ini.
Unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Berbanding dolar Singapura,ringgit diniagakan susut pada 3.3127/3188 daripada 3.3118/3177 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0679/0967 daripada 13.0415/0695 semalam.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia dengan masing-masing pada 7.70/7.72 dan 268.7/269.3.- BERNAMA