Tue Jul 15
Penduduk Kampung Sungai Relai terputus perhubungan lebih 10 tahun
2025-07-14
HaiPress
Menara telekomunikasi di kawasan itu tidak berfungsi sejak lebih 10 tahun lalu
GUA MUSANG,14 Julai – Lebih 1,000 penduduk dan pekerja ladang di Kampung Sungai Relai,dekat sini,mendakwa terputus perhubungan apabila menara telekomunikasi di kawasan itu tidak berfungsi sejak lebih 10 tahun lalu.
Akibat ketiadaan liputan rangkaian telefon dan capaian internet,penduduk terpaksa keluar sejauh lebih 15 kilometer serta mendaki kawasan berbukit untuk mendapatkan isyarat komunikasi.
Difahamkan,sebelum tahun 2014,pencawang telekomunikasi di kampung itu dihidupkan menggunakan generator,namun ia tidak lagi berfungsi selepas dipercayai dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketiadaan kemudahan komunikasi turut menimbulkan kesulitan besar sekiranya berlaku kecemasan,selain menjejaskan pembelajaran anak-anak sekolah.
“Kadang-kadang kami terpaksa ke Felda Chiku untuk cari 'line'. Kalau malam memang susah,pencawang dulu ada,tapi dah lama rosak. Orang luar yang buat hal,bukan penduduk sini,” kata Razak Jali,penduduk kampung.
Razak Jali,penduduk kampung
Menurut seorang lagi penduduk,Azrul Azhar,pelajar sekolah di kampung tersebut terpaksa bergantung kepada capaian internet untuk pembelajaran dalam talian kerana lokasi tuisyen jauh dari kawasan kampung.“Kalau ada kecemasan pun,kami terpaksa minta bantuan dari pihak ladang sekitar. Mereka bantu sediakan van atau kenderaan pacuan empat roda untuk ke hospital atau balai polis,” jelasnya.Azrul Azhar,penduduk kampung
Sementara itu,Mustapa Yaacob berkata,ketiadaan internet turut menyulitkan urusan harian,termasuk komunikasi dengan ahli keluarga serta tugasan sekolah anak-anak.
“Kami terpaksa keluar ke Chiku,dalam 15 kilometer untuk dapatkan capaian internet. Harapan kami agar pihak berkenaan segera ambil tindakan,sebab penduduk memang susah,” katanya.
Mustapa Yaacob,penduduk kampung
Kampung Sungai Relai terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Berang,kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.