KSN minta rakyat sabar nantikan kejutan daripada PM

2025-07-15     IDOPRESS

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,15 Julai - Rakyat diminta bersabar menanti kejutan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi 'bayangan' akan mengumumkan penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat,menerusi perkongsian di Facebook beliau semalam.

Itu reaksi awal yang diterima daripada Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Beliau enggan mengulas lanjut ketika diminta memperincikan perkara tersebut,sebaliknya meminta semua pihak menunggu sehingga ia diumumkan nanti.

"Tetapi ia akan menggembirakan rakyat. Kalau untuk penjawat awam,ia akan menggembirakan penjawat awamlah,insya-Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC),di ibu negara.

Semalam,media yang memetik laporan Bernama menyatakan,Perdana Menteri bakal mengumumkan suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat menerusi poster bertulis 'AKAN DATANG' yang dikongsikan Datuk Seri Anwar dalam Facebook beliau.

Poster tertera perkataan 'Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku,' yang dikongsikan itu turut disertakan kapsyen 'Nantikan…' yang menimbulkan debaran dan tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.