
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan tumpu Sains,Teknologi dan Inovasi untuk rakyat / Foto FB MOSTI
KUALA LUMPUR,30 Julai – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang bakal berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu pada 7 hingga 9 Ogos ini tampil dengan kelainan apabila memberi tumpuan kepada Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai teras utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ketua Penolong Pengarah Kanan,Seksyen Program Strategik,PACU Pejabat Perdana Menteri,Mohd Zammidi Mohd Asri berkata persiapan bagi penganjuran program di Kelantan kini berada pada tahap yang hampir sempurna,dengan semua kementerian dan agensi berkaitan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelancaran acara tersebut.
“Secara keseluruhannya,persiapan telah disempurnakan dan pihak penganjur berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan program kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media,hari ini.
Mohd Zammidi Mohd Asri
PMR 2025 Kelantan dianjurkan bersama oleh Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan,Jabatan Perdana Menteri,sebagai salah satu daripada sembilan destinasi penganjuran PMR tahun ini.MOSTI selaku kementerian peneraju bagi edisi Kelantan akan mengetengahkan pelbagai pengisian berteraskan teknologi dan inovasi,sejajar dengan fokus ke arah kemajuan digital negara.Sementara itu,Ketua Seksyen Pencapaian Organisasi dan Koordinasi MOSTI,Datin Seri Norfaliza Ismail berkata antara tarikan utama program kali ini termasuk Pavilion Universiti,Segmen Touch and Feel dan Demonstrasi Teknologi Fizikal bersama kementerian rakan strategik seperti Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI),Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.“Konsep kami kali ini ialah membawakan STI terus ke lapangan agar rakyat dapat alami sendiri bagaimana teknologi boleh membantu menyelesaikan isu tempatan,” jelasnya.MOSTI turut mempersembahkan pertunjukan dron,demonstrasi sains serta pameran khas dalam zon STEM dan Kecerdasan Buatan (AI),yang melibatkan empat kluster utama iaitu digital,pendidikan,pengajian tinggi dan belia.Program PMR edisi Kelantan juga akan menampilkan perkhidmatan agensi kerajaan persekutuan dan negeri,penyertaan NGO,institusi pengajian tinggi serta pelbagai badan lain,menjadikan ia satu platform menyeluruh untuk rakyat berinteraksi secara langsung dengan penyedia perkhidmatan.MOSTI dan PACU menyasarkan kehadiran melebihi 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran,termasuk penglibatan dalam sesi interaksi bersama menteri serta segmen gamifikasi teknologi oleh Kementerian Belia dan Sukan.Program itu dilihat bukan sahaja sebagai medan pameran teknologi,malah turut menjadi saluran penting dalam merapatkan jurang antara dasar kerajaan dan rakyat menerusi pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi.