
Kerajaan bertekad meningkatkan mutu kehidupan rakyat dalam RMK13
KUALA LUMPUR,31 Julai - Kerajaan bertekad dalam menjamin pengupayaan rakyat,menaikkan taraf kehidupan sosial serta memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan,perumahan dan kesihatan yang mampu milik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,ketika ini kebergantungan negara kepada sumber makanan import juga masih tinggi. Tegasnya,kelumpuhan bekalan makanan import boleh menjadi ancaman kepada negara.
"Bagi mengurangkan risiko tersebut,penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkat. Tumpuan khusus diberikan untuk membangunkan pertanian berskala besar di Kelantan,Pahang,Terengganu,Sabah dan Sarawak," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata,beberapa inisiatif lain juga akan dilaksanakan termasuk mempercepatkan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kedah,Perlis,Kelantan serta kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor,Perak,Pulau Pinang dan Sarawak.
Menurutnya,selain itu pemindahan teknologi melibatkan pembangunan varieti dan teknik pertanian,penggunaan jentera moden melalui program mekanisasi dan automasi agromakanan serta pengurusan tanah yang lebih cekap akan turut diberi keutamaan.
Di samping itu,aktiviti penyelidikan,pembangunan,pengkomersialan dan inovasi (RDCI),adaptasi pertanian pintar dan ladang satelit akan dipergiat dengan simbiosis erat antara
petani termasuk agropreneur muda,institusi penyelidikan dan pihak industri.
"Sumber import makanan akan dipelbagaikan agar tidak bergantung pada negara tertentu sahaja. Kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara juga akan diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin," katanya.
Sementara itu,Perdana Menteri berkata,bagi menambah baik rantaian bekalan makanan secara menyeluruh,kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan,pemprosesan,penggredan dan pengedaran serta sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana akan diperkukuh.
"Minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan. Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030," katanya.