
Sultan Perak,Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada sambutan Hari Pahlawan 2025 Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan / Foto Bernama
IPOH,31 Julai – Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan,di sini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Muda Perak,Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak,Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir,Menteri Besar Perak,Datuk Seri Saarani Mohamad; Panglima Armada Barat,Laksamana Muda Datuk Pahlawan Abdul Halim Shaari; Ketua Polis Perak,Datuk Noor Hisam Nordin; serta Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia,Briged Jeneral Mohamad Rosli Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak,disusuli pemeriksaan kawalan kehormat utama oleh Sultan Nazrin,yang terdiri daripada tiga pegawai kanan polis dan 102 pegawai rendah polis diketuai Superintenden Mohd Aster Mohamad bersama Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ahmad Auzan Mohd Noor.
Barisan perhimpunan melibatkan seramai 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan,termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis.
Selesai kawalan kehormat,tiupan Paluan Akhir dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan sebagai tanda penghormatan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan,diikuti deklamasi sajak bertajuk “Darah Perwira Di Tanah Merdeka” yang disampaikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dan Koperal Nurul Syuhada Azmi.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan tiupan Rouse,disusuli upacara menaikkan semula Jalur Gemilang serta lagu kebesaran negeri Perak dimainkan sebagai penutup rasmi acara.