Aerotren KLIA kembali beroperasi, penyelenggaraan berjadual selesai

2025-09-03     HaiPress

Operasi penyelenggaraan berjadual aerotren KLIA selesai

KUALA LUMPUR,3 September – Sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual selesai dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Ogos 2025.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata,operasi penyelenggaraan berjaya disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan perkhidmatan sambungan penumpang.

Kerja-kerja berkenaan dijalankan untuk menambah baik tahap responsif dan kebolehpercayaan sistem berdasarkan data operasi yang dikumpul sejak pelancaran Aerotren pada 1 Julai lalu.

''Sepanjang tempoh penyelenggaraan,perjalanan antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit kekal lancar dibantu penggunaan bas ulang-alik.

''Alstom,kontraktor Aerotren,turut melengkapkan ujian terhadap kemas kini perisian sistem isyarat sepanjang tempoh penyelenggaraan,sekali gus mengukuhkan keupayaan sistem dalam memberikan perkhidmatan yang selamat dan efisien,'' jelas MAHB.

Pengarah Urusan Malaysia Airports,Datuk Mohd Izani Ghani berkata,Aerotrain merupakan penghubung penting dalam operasi KLIA dan pihaknya komited untuk memastikan perkhidmatan itu kekal dipercayai oleh penumpang.

''Penyempurnaan kerja-kerja berjadual ini mencerminkan fokus kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.

''Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang mampu memberikan kebolehpercayaan,keselamatan,dan keselesaan yang lebih baik kepada semua pengembara,” jelasnya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.