Mon Dec 08
Perniagaan Muslim global pacu kebangkitan ekonomi Islam
2025-12-08
HaiPress

Foto RTM
KUALA LUMPUR,8 Disember – Kerjasama erat komuniti perniagaan Muslim global kini penting untuk memperkukuh ekonomi Islam dan menjadikan umat Islam sebagai pemain utama pasaran.
Presiden Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF),Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther,menegaskan komuniti perniagaan Muslim mempunyai kekuatan besar,dengan hampir dua bilion penduduk serta pengaruh ekonomi terus berkembang di seluruh dunia Islam.
“Ekonomi umat Islam bukan bersifat eksklusif untuk orang Islam sahaja,kerana Islam itu sendiri inklusif dan merangkumi seluruh umat manusia. Usahawan Muslim melihat pasaran global sebagai peluang untuk memperkenalkan nilai serta etika yang dizahirkan melalui perniagaan dan produk Muslim,” katanya ketika ditemui pada Forum GMBF 2025 di sini,hari ini.
Forum tersebut merupakan anjuran bersama Institut Strategik KSI,Islamic Chamber of Commerce and Development (ICCD) serta Global One,sebuah NGO berpangkalan di United Kingdom yang mendapat pentauliahan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Ia mengumpulkan penggubal dasar,pemimpin perniagaan,sarjana dan inovator untuk membincangkan strategi masa depan dan tindakan kolektif bagi manfaat komuniti Muslim global.
Memperincikannya,Datuk Seri Mohamed Iqbal berkata,Malaysia sentiasa menekankan keterlibatan konstruktif dalam dunia Islam dan berperanan sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara,Teluk,Asia Selatan dan arena antarabangsa.
Tambahnya,sebagai Pengerusi ASEAN 2025,Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menggalakkan pendekatan kerjasama antara Timur dan Barat.
Dengan 1.9 bilion penduduk,umat Islam muncul sebagai kelompok demografi dan ekonomi penting,dengan mencecah US$2.29 trilion,dipacu sektor makanan halal,farmaseutikal,fesyen dan pelancongan.



