Pasaran getah ditutup rendah, jejaki pasaran serantau

2024-08-15     berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Fail

KUALA LUMPUR,14 Ogos- Pasaran getah tempatan ditutup rendah pada Rabu,dipengaruhi oleh aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh,kata seorang peniaga.

Pada pukul 5.00 petang,ringgit meningkat 4.4240/4295 berbanding dolar US daripada 4.4440/4505 ketika ditutup semalam.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun rendah pada hari ini selepas mencatatkan kenaikan sebelum ini kerana pelabur mengambil perhatian terhadap harga getah fizikal dan data ekonomi China berbanding harga minyak yang lebih kukuh.

“Sementara itu,jumlah inventori getah asli di gudang di Qingdao (China) turun kepada 418,900 tan metrik setakat Isnin (12 Ogos) berbanding 647,000 tan metrik pada awal tahun ini (2 Januari),ia mewakili kejatuhan 35 peratus,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun,peniaga itu berkata bahawa kerugian selanjutnya dihadkan oleh pemulihan dalam penanda aras harga minyak mentah yang menimbulkan keyakinan untuk penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada September depan.

"Ini ditambah pula dengan kebimbangan yang berlanjutan mengenai bekalan getah yang terhad berikutan ramalan cuaca buruk di Thailand," katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 8.5 sen kepada 773.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 0.5 sen kepada 626.5 sen sekilogram.

Pada pukul 5.00 petang,harga rujukan LGM untuk getah fizikal GMM 20 berada pada 772.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal ialah 627.5 sen sekilogram.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.