Pemandu maut, penumpang cedera kereta terbakar di NPE

2024-10-20     HaiPress

Kereta yang dinaiki dua lelaki terbabas dan terbakar 100 peratus di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala Pantai Dalam

KUALA LUMPUR,20 Oktober - Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar di KM14.9 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) kira-kira 8 pagi ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.28 pagi tadi.

“Sepasukan sembilan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama jentera Fire Rescue Tender dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digegaskan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi,didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios sedang terbakar dipercayai impak daripada kemalangan jalan raya sebelum terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit sempat dikeluarkan oleh orang ramai sebelum kereta berkenaan terbakar dan mereka dipercayai mempunyai pertalian saudara.

Sementara itu,jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan trafik lebih 300 meter di lebuh raya berkenaan.

-- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.