Fri Dec 20
Jabatan Kesihatan Perak pantau restoran nasi kandar, cuci peralatan di jalan
2024-11-18 HaiPress
A Sivanesan
IPOH,18 November- Jabatan Kesihatan Negeri Perak sedang memantau restoran nasi kandar yang tular membasuh peralatan memasak di atas jalan belakang premis bersebelahan longkang,baru-baru ini.
Exco Sumber Manusia,Kesihatan,Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak,A. Sivanesan berkata pemantauan akan dibuat selama sebulan.
Bagaimanapun pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu.
"Apa yang saya dapat melalui perkongsian Facebook,tetapi saya percaya ada kebenarannya. Tetapi apabila kita pergi ke sana,kita mendapati ia sudah ditutup. Tiada orang cuci. Tempat berkenaan juga dipantau selama sebulan,dan pemantauan dilakukan pada sebelah malam.
"Pemantauan berkenaan tidak dimaklumkan kepada sesiapa,ia adalah pemantauan mengejut. Para pegawai juga akan turun padang melawat penghuni-penghuni rumah belakang restoran itu untuk mengambil kenyataan daripada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini.
Sebelum ini tular kejadian berhubung seorang pengguna media sosial yang berkongsi video mendakwa restoran nasi kandar di Silibin gagal mematuhi garis panduan kebersihan.
Menerusi rakaman berkenaan ia memaparkan pekerja restoran berkenaan membasuh peralatan memasak di atas jalan setiap malam.