Wed Jan 22
LLM jangka aliran trafik tertinggi sempena TBC, 2.6 juta kenderaan sehari
2025-01-22 HaiPress
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,22 Januari- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik tertinggi iaitu sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama berikutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) pada 29 Januari ini.
Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dalam satu kenyataan memaklumkan cuti perayaan panjang memberi kesempatan kepada orang ramai untuk pulang ke kampung menghala ke utara,timur dan selatan.
"Daripada jumlah ini,sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); 198,000 di Lebuhraya KL-Karak; 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1; 48,000 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
"Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota sempena cuti panjang akan meningkat bermula pada 24-28 Januari 2025,manakala aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan pada 1-2 Februari 2025," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu LLM memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula pada 23 Januari hingga 3 Februari depan.
Selain itu mengaktifkan laluan smart di 25 lokasi kesesakan di PLUS serta melaksanakan pengurusan trafik di plaza tol dan persimpangan.
Dalam pada itu larangan pemanduan kenderaan barangan sepanjang tempoh itu dijangka membantu kepada aliran trafik lebih baikdi lebuh raya utama negara.
Pihak PLUS juga menyediakan kira-kira 50 tandas sementara dari jenis kabin lebih selesa berbanding tandas 'portable' konvensional di PLUS untuk menampung keperluan pengguna semasa musim perayaan.
Para pengguna juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan dikeluarkan pihak PLUS selain digalakkan meneruskan perjalanan sekiranya kawasan rehat & rawat (R&R) penuh dan berhenti di kawasan berikutnya.
"Para pengguna lebuh raya juga,dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) oleh pihak AFA Prime bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai TimurFasa 1.
"Status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia,Aplikasi X @limtrafik serta di TikTok @limtrafik. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV," tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC),LLM menerusi talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan.