Pencen veteran ATM: Permulaan baharu untuk kerjaya kedua

2025-02-08     HaiPress

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima cek ganjaran pada Majlis Penyampaian Cek Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM di Bangunan UMNO Bahagian Muar

MUAR,8 Februari - Pencen yang diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan bertujuan menampung saki baki kehidupan,sebaliknya untuk mereka memulakan kehidupan baharu menerusi kerjaya kedua.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana majoriti mereka berpencen pada usia muda iaitu sekitar 42 tahun dan masih bertenaga untuk mempelajari ilmu baharu atau memulakan perusahaan sendiri.

"Kerajaan sedang memberikan tumpuan terhadap perkara ini,supaya apabila mereka masuk umur berpencen,mereka boleh dapat pekerjaan yang baik,sesuai dan munasabah. Kita tidak mahu mereka hanya bergantung kepada pencen semata-mata.

"Sebaliknya kita mahu pastikan veteran yang baru berpencen ini dapat dikurangkan jurang pendapatan antara mereka menerusi pekerjaan baharu atau employability mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Cek Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Veteran ATM di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki.


Mohamed Khaled berkata setakat ini lebih 300 anggota ATM telah memohon menyambung pengajian diploma menerusi Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) dalam usaha meningkatkan kerjaya serta kesejahteraan hidup selepas tamat perkhidmatan.

"Kita bersyukur kerana kerajaan telah memperuntukkan buat pertama kali tahun ini sebanyak RM3 juta untuk membiayai kos WBL dengan setiap seorang lebih kurang RM6,000 kerajaan bayarkan," katanya.

Beliau berkata setakat ini antara universiti terlibat dengan WBL ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM),Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

"Kita mahu pekerjaan atau kemahiran mereka diiktiraf,sekiranya dahulu dia masuk tentera dengan SPM tetapi kini keluar ada diploma. Jadi tahap kebolehpasaran lebih baik,lebih mudah dapat kerja dengan gaji yang setimpal," tambahnya.

Terdahulu,Mohamed Khaled menyampaikan faedah GHU kepada tujuh veteran ATM dan bungkusan kotak cakna kepada sembilan veteran ATM yang antaranya mengalami masalah pendengaran,pertuturan,kemalangan dalam perkhidmatan,uzur,sakit jantung,Veteran Kurang Upaya (VKU) dan menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam pada itu seramai tujuh veteran ATM yang cedera semasa tugas aktif menerima Ganjaran Hilang Upaya (GHU),di sini,pagi tadi.

Mohamed Khaled berkata,GHU diterima mereka itu telah diberi kenaikan signifikan selaras sistem persaraan perkhidmatan awam.

Bekas Koperal Rejimen Askar Melayu Diraja Abu Bakar Khamis,79 tahun antara penerima GHU sebanyak RM42,000. Beliau pernah cedera tangan kiri dan peha kanan semasa diserang hendap komunis di Sarawak.

"Saya diserang hendap pengganas komunis,mereka ramai antara 15 hingga 20 orang. Saya ditembak di kaki," kata Abu Bakar.

Ketika ini terdapat 1,825 veteran ATM yang hilang upaya di seluruh negara dengan 292 daripadanya cedera semasa operasi dan latihan berisiko tinggi.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.